
WASHINGTON - Satu rakaman video rahsia yang memaparkan askar-askar Amerika Syarikat (AS) ketawa semasa melancarkan serangan udara dan membunuh 12 penduduk Iraq tersebar di Internet menerusi sebuah laman web.
Mangsa-mangsa yang mati itu termasuk seorang jurugambar Reuters, Namir Noor-Eldeen berusia 22 tahun dan pemandunya, Saeed Chmagh, 40.
Video hitam putih selama 17 minit itu dirakamkan dari tempat helikopter Apache milik tentera AS yang melancarkan serangan tersebut.
Pembunuhan itu bermula apabila sekumpulan penduduk yang sedang berkumpul di sebatang jalan di Baghdad ditembak dengan mesingan helikopter askar AS.
Beberapa penduduk kemudian cuba melarikan diri semasa kejadian tersebut.
Dua juruterbang dalam rakaman video itu sedang berbual dengan menyatakan pembunuhan itu mirip satu permainan video.
Beberapa lelaki yang melepaskan tembakan dengan menggunakan mesingan dari helikopter lantas ketawa: "Ha-ha sasaran saya kena."
Rakaman tersebut disahkan oleh tentera AS sebagai serangan yang berlaku di Baghdad pada 12 Julai 2007. - Agensi
No comments:
Post a Comment