Monday, September 20, 2010

Apakah kesan Ramadhan yang telah berlalu kepada anda?

Posted By PakarHowTo On September 21, 2010 (10:37 am) In Info Berguna

Salam aidilfitri buat semua pembaca. Bagaimana dengan Hari Raya anda? Enjoy? Happy? Gembira? Ceria? Atau ada yang berduka?

Bagi saya, Alhamdulillah, hari raya dapat diraikan dalam serba yang sederhana. Hari raya pertama, kami menyambutnya di kampung saya di Jerantut, Pahang. Dan kemudian, hari raya kedua dan seterusnya, kami beraya di kampung isteri di Baling, Kedah.

Pada hari raya kedua, bapa mertua saya ada buat kenduri aqiqah untuk anak saya. Dua ekor kambing telah dikorbankan untuk menjadi santapan para tetamu yang hadir. Alhamdulillah, saya bersyukur atas nikmat/rezeki yang Allah kurniakan kepada kami.

OK, cukup cerita bab raya. Sekarang saya ingin mengajak anda semua befikir atau bermuhasabah sedikit. Seperti yang tercatat pada tajuk post kali ini, saya ingin melontarkan satu persoalan kepada anda ;

  • “Apakah kesan Ramadhan (yang telah berlalu) yang anda dapat rasai?”
  • “Apakah amalan yang anda lakukan semasa Ramadhan lepas, anda masih istiqamah melakukannya sekarang?”
  • “Apakah kesan yang anda dapat daripada ‘madrasah Ramadhan’ kali ini?”

Pada hari Ahad (19/Sep/2010) lepas, saya telah berkesempatan mengikuti kuliah Subuh di Masjid Taman Desa, Jln Kelang Lama.

Mengikut ustaz (maaf, saya tak tahu nama ustaz tersebut) yang menyampaikan kuliah pada pagi itu, kita mestilah sekurang-kurangnya melakukan atau mengekalkan 5 amalan seperti berikut :

  • 1. Berpuasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal

Kalau dalam bulan Ramadhan kita mampu berpuasa selama 30 hari berturut-turut, mengapa kita tak mampu nak puasa 6 hari saja dalam bulan Syawal ini? Sangat besar fadhilatnya berpuasa 6 ni. “Barang siapa dapat puasa 6 hari dalam bulan Syawal, dia akan mendapat ganjaran pahala seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.”, kata ustaz tu. Jadi, mengapa kita tidak mahu merebut peluang ini?

  • 2. Solat tahajjud + witir pada setiap malam

Kalau dalam bulan Ramadhan kita boleh buat qiamullail atau setidak-tidaknya solat witir setiap malam, mengapa selepas Ramadhan kita tidak lagi meneruskan amalan ini? Solat witir contohnya, bukan hanya dilakukan dalam bulan Ramadhan saja. Tetapi ia patut diteruskan pada setiap malam. Kita boleh buat solat witir, paling banyak 11 rakaat dan paling sikit 1 rakaat. Ustaz mencadangkan supaya setidak-tidaknya kita kekal melakukan 2 rakaat solat tahajjud dan 3 rakaat solat witir pada setiap malam.

  • 3. Kekalkan solat berjemaah

Kalau dalam bulan Ramadhan kita selalu solat dengan berjemaah di masjid, mengapa selepas Ramadhan kita nak bersolat sorang-sorang pula? Bukankah solat berjemaah itu fadhilatnya 27 kali lebih daripada solat bersendirian? Ustaz menyarankan supaya kita berusaha untuk setidak-tidaknya dapat solat Isyak dan Subuh secara berjemaah. Menurut ustaz tu, barang siapa dapat solat Isyak dan Subuh dengan berjemaah, maka dia akan dapat ganjaran seperti seolah-olah dia solat sepanjang-panjang malam. Sangat rugi orang yang tidak solat berjemaah.

  • 4. Istighfar dan minta ampun pada Allah sebanyak mungkin

Bacalah istighfar sebanyak mungkin pada setiap hari. Nabi SAW yang maksum itu pun mengucapkan istighfar tidak kurang 75 kali sehari. Kita yang dosa bertimbun-timbun ni, mengapa susah sangat untuk istighfar pada Allah? Adakah kita rasa kita ni tidak berdosa? Minta lah ampun banyak-banyak pada Allah. Jadikan istighfar sebagai zikir harian kita. Basahi lidah kita dengan istighfar setiap masa dan ketika. Kalau boleh ingat dan amalkan PENGHULU ISTIGHFAR ini adalah paling baik.

Penghulu Istighfar

Penghulu Istighfar

  • 5. Berselawat ke atas nabi sebanyak mungkin

Kalau kita benar-benarkan kasihkan nabi SAW, maka berselawatlah selalu. Ada orang banyak ucap selawat hanya pada bulan Ramadhan, tapi selepas Ramadhan dia meninggalkan amalan itu. Alangkah ruginya. Kerana Allah SWT sendiri menyuruh kita berselawat ke atas Nabi SAW. Ingatlah bahawa, “Barangsiapa yang berselawat ke atas Nabi SAW 1 kali, maka Allah akan berselawat (memberikan rahmat) keatasnya 10 kali.”. Jadi, cubalah rajin-rajinkan diri kita untuk selalu berselawat ke atas nabi SAW. Terlalu banyak fadhilat selawat bagi sesiapa yang mengamalkannya. Sangat rugi siapa yang tak amal. Lagipun, bukan susah mana nak berselawat. So, mengapa kita tidak amalkannya??

Sekian, begitulah antara intipati kuliah Subuh yang dapat saya ingat. Semoga apa yang saya kongsikan ini, dapat kita sama-sama amalkan, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment